Sunday, June 28, 2009

MAJLIS INTERAKSI

Majlis Interaksi telah diadakan pada pagi ini di PASTI Sg Semambu. Kehadiran ibubapa amat menggalakkan.
Aturcara program:
1. Ucapan pengurus
2. Sessi soal jawab
3. Jamuan
4. Sessi pertemuan dengan guru

Majlis Interaksi adalah merupakan salah satu program tahunan PASTI Sg Semambu. Ibubapa/Penjaga, AJK pengurusan dan guru-guru dijemput untuk mendengar ucapan dan penerangan daripada Pengarah PASTI Negeri atau Pengerusi PASTI Kawasan dan Pengurus PASTI Cawangan. Walaubagaimanapun pada hari ini, Pengarah PASTI Negeri/Kawasan atau wakilnya tidak dapat hadir. Kemudian ibubapa boleh berdialog dengan pihak pengurusan dan guru-guru mengenai pendidikan di PASTI. Mereka boleh bertanya atau memberi komen mengenai pencapaian murid sepanjang setengah tahun pertama berdasarkan keputusan peperiksaan penggal pertama yang lalu. Selain itu mereka boleh membangkitkan persoalan dengan pengurusan PASTI ini di dalam segala aspek. Dengan maklumbalas ini, pihak pengurusan PASTI boleh memperbaiki kelemahan yang mungkin dikenalpasti. Di akhir program ini, ibubapa boleh bersemuka terus dengan guru kelas untuk mendapatkan Buku Rekod Prestasi murid dan berbincang secara terperinci untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak mereka.
Program ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengahari.

Thursday, June 25, 2009

SUKAN PASTI MALAYSIA












Pesta Sukan Pasti Malaysia Kali Ke-5 di Padang Kompleks Sukan Universiti Industri Selangor (UNISEL), 21hb Jun 2009



Wednesday, June 24, 2009

KURIKULUM PASTI

Mukadimah
Kurikulum Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) merupakan suatu kurikulum prasekolah ynag dibina khusus untuk pengajian kanak-kanak berumur 5-6 tahun berdasarkan falsafah Pendidikan Negara (FPN), Falsafah Pendidikan Islam (FPI) dan Falsafah Pendidikan PASTI (FPP) yang melibatkan anak-anak PASTI dan guru (mualimah).
Kandungan dan Fungsi Kurikulum PASTI
Kurikulum PASTI adalah megikut susunan kandungan yang diajar secara tersusun dan sistematik bagi memenuhi serta mencapai matlamat Tarbiyyah Islamiyyah. Pada dasarnya kurikulum ini adalah pancaran kosep Insaniyyah dari Manhaj Al-Hayah Al-Rabbani yang berpaksikan Iman, Islam dan Ihsan. Fungsinya ialah bagi mengawal dan memelihara fitrah manusia supaya potensi-potensi rohaniah, aqilah dan jasmaniyah tidak dirosakkan oleh pengaruh alam sekeliling yang merendahkan kualiti iman manusia. Selain itu, kurikulum PASTI juga berfungsi untuk memperkembangkan fitrah serta potensi-potensi kemanusiaan selaras dengan kehendak matlamat Pendidikan Islam.
Rujukan Kurikulum PASTI
Rujukan kurikulum PASTI ialah Al-Quran, Sirah Rasul, Surah Sahabat r.a dan Sejarah Peradaban serta Tamadun Islam. Kesemua rujukan mengutarakan kepentingan kepada pengajaran Tauhid, Fiqh, Akhlaq dan Surah di samping pengajian bahasa-bahasa, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kehidupan manusia and riadah.

FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam bedasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara kearah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.
FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI
Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan. Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah Swt. di dunia dan di akhirat.

Tuesday, June 23, 2009

AQIQAH

PASTI Sg Semambu akan menganjurkan Program Ibadah Aqiqah pada Hari Ihtifal PASTI Sg Semambu, hujung tahun ini. Pihak pengurusan PASTI menjemput ibubapa yang ingin membuat Aqiqah untuk anak mereka agar dapat menyertai program yang dijalankan oleh PASTI ini. Satu bahagian berharga RM 350.00 dan boleh dibayar secara ansuran atau sekali gus sebelum tarikh tutup penyertaan iaitu pada 30hb September 2009. Sila dapatkan borang penyertaan dari guru pada waktu sekolah.
Sehingga hari ini, terdapat 4 orang telah mengesahkan penyertaan mereka yang berjumlah 4 bahagian. Kami memerlukan 3 bahagian lagi untuk mencukupkan 7 bahagian atau seekor lembu.

KELAS MENTAL ARITHMETIC

PASTI Sg Semambu telah membuka sebuah kelas Mental Arithmetic (Easymath) sejak sebulan yang lalu. Ia terbuka kepada kanak-kanak yang berumur 5 hingga 12 tahun. Buat masa ini terdapat sebuah kelas peringkat asas dibuka yang mengandungi 11 orang murid. Ia diadakan pada setiap hari Selasa, mulai 8.00 malam hingga 9.15 malam. Kelas ini diajar oleh seorang guru PASTI dari Seberang Jaya yang terlatih dalam subjek ini. Kelas asas ini akan tamat selepas 6 bulan, dan kemudiannya akan disambung ke peringkat yang lebih tinggi.
Program ini adalah inisiatif dari Dewan Muslimat PAS Permatang Pauh.

Monday, June 22, 2009

MUQADDIMAH

Alhamdullilah, segala puji bagi Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., keluarga dan sahabat-sahabatnya.
Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi maklumat kepada seluruh masyarakat khususnya ibubapa/penjaga yang menghantar anak mereka di PASTI Sg Semambu ini.
PASTI Sg Semambu ditubuhkan dan mula beroperasi pada tahun 1989. Ia terletak di 252, MK 5, Sg Semambu (belakang pejabat PKR Sg Semambu). Sekarang PASTI ini telah berumur 20 tahun. Pada sessi tahun 2009 ini, PASTI Sg Semambu mempunyai 74 orang murid (Lelaki:39 orang/Perempuan:35 orang). Jumlah murid 5 tahun seramai 38 orang manakala jumlah murid 6 tahun seramai 36 orang. PASTI Sg Semambu mempunyai 4 buah kelas (2 buah kelas untuk 5 tahun dan 2 buah kelas untuk 6 tahun). Seramai 4 orang guru dan seorang pembantu berkhidmat di PASTI ini.
Demikianlah serba sedikit pengenalan PASTI Sg Semambu yang dapat dipaparkan disini. Pihak kami akan menyampaikan berita-berita dan aktiviti-aktiviti berkenaan PASTI ini dan PASTI di peringkat kawasan, negeri dan pusat dari masa ke semasa, insyaAllah. Kami mengharapkan ibubapa/penjaga serta orang ramai dapat memberi komen yang membina demi kebaikan pendidikan di PASTI untuk akan datang.
Sekian. Terima kasih.

Mohtar Bin Mohamad
Setiausaha
PASTI Sg Semambu
mohtarmohamad@yahoo.com